Friday, May 30, 2008

Protocol


Amalan Protokol merupakan suatu perkara yang penting di dalam menganjurkan sesuatu majlis. Ianya memudahkan perjalanan majlis kerana dengan adanya Protokol, ia menjadi panduan bagi memastikan perlaksanaan majlis dengan sempurna tanpa sebarang masalah. Tahukan anda bahawa Malaysia adalah di antara beberapa negara yang menggunakan amalan Protokol secara meluas? Ianya banyak membantu dan memberi kemudahan serta kebaikan di dalam membentuk satu set layanan serta tingkahlaku sewaktu penganjuran sesuatu acara/majlis.


Namun masih ramai di antara kita yang menganggap bahawa amalan Protokol adalah suatu perkara yang mengganggu kebebasan, mengongkong serta membelenggu pergerakan mereka. Mereka rimas dan bosan kerana bagi mereka amalan Protokol hanya akan menyusahkan mereka kerana wujudnya suatu bentuk peraturan atau set tingkahlaku yang mereka anggap tidak perlu atau tidak penting. Anggapan sedemikian sebenarnya akan lebih menyusahkan mereka.


Jika dibandingkan dengan negara Barat (terutama negara yang tidak mempunyai Raja), amalan Protokol sebenarnya tidak dititikberatkan sebagaimana di Malaysia. Amalan Protokol yang diamalkan tidak seperti yang terdapat di Malaysia. Elemen-elemen di dalam amalan Protokol di Malaysia boleh dianggap lengkap dan menyeluruh. Malah, ke semua elemen ini diamalkan dan digunapakai di dalam apa jua keadaan sekalipun.


Amalan Protokol di Malaysia sebenarnya telah wujud secara semulajadi di dalam masyarakat Malaysia sejak dari dulu. Ia merupakan asas di dalam pembentukan sahsiah diri serta nilai etiket seseorang. Penggunaannya bukan kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai Raja tetapi nilai serta adab santun masyarakat Malaysia yang begitu tinggi serta menitikberatkan rasa hormat telah secara tidak langsung menwujudkan amalan Protokol di Malaysia.


Sebagai contoh di dalam institusi keluarga, ayah adalah merupakan ketua keluarga dan insan yang paling senior. Justeru mereka harus dihormati. Perasaan hormat telah membentuk kepada satu set layanan serta tingkahlaku yang sopan, penuh tertib dan beradab supaya apa jua perkara yang dilakukan, ianya tidak menyinggung perasaan mereka. Maka, apabila sesuatu perkara berlaku di dalam institusi keluarga, ayah adalah orang yang perlu diberi perhatian. Amalan ini wujud kerana adanya perasaan hormat terhadap seorang ayah.


Analogi ini terdapat di dalam amalan Protokol di Malaysia. Rasa hormat kepada seseorang telah membentuk satu set tingkahlaku yang formal. Ini membantu kita untuk memberi layanan yang sesuai kepada seseorang bergantung kepada kedudukan serta status mereka. Keadaan ini di tambah dengan sistem beraja yang terdapat di Malaysia sejak turun temurun. Ianya turut menyumbang kepada pembentukan set layanan serta tingkahlaku yang tertentu kerana resam budaya orang Malaysia itu sendiri yang cukup tinggi menghormati ketua lalui sentiasa sentiasa memastikan kesopanan dan kesusilaan ini dijaga.


Bagi saya dengan adanya Protokol, ia akan lebih membantu kita memberi suatu bentuk layanan kepada seseorang tanpa menyinggung perasaan mereka. Ianya dapat mengekalkan ketinggian budaya serta etika masyarakat Malaysia. Amalan Protokol jika digunapakai dengan sebaiknya akan memberi banyak manafaat serta membantu perlaksanaan sesuatu acara atau majlis dengan lebih sempurna.


No comments: