Sunday, June 1, 2008

Fenomena di LCCT


Ini merupakan kali pertama saya menggunakan perkhidmatan Penerbangan Air Asia untuk pulang ke kampung di Kota Bharu. Teruja dengan komen yang saya dengari dari rakan rakan mengenai Air Asia yang kini kata mereka jauh lebih baik daripada dahulu serta penggunaan pesawat baru jenis Airbus, membuatkan saya mengambil keputusan untuk terbang dengan Air Asia.

Pertama kali juga saya terbang dengan penerbangan awal pagi dari LCCT ke Kota Bharu. Menganggap bahawa penerbangan awal pagi tidak sesibuk penerbangan di waktu lain, maka pagi tersebut saya keluar dari rumah seawal jam pukul 4.30 pagi dengan harapan untuk meletak kereta berhampiran bangunan terminal.

Lebuhraya menuju ke KLIA agak lengang pada pagi itu. Tetapi apabila memasuki lebuhraya menuju ke LCCT, saya melihat banyak kenderaan berpusu-pusu menuju ke arah yang sama. Agak terkejut dengan keadaan tersebut di tambah pula setelah tiba di LCCT, sukarnya untuk mendapat tempat letak kenderaan yang saya inginkan. Sangkaan saya meleset kerana LCCT begitu sibuk di waktu paginya.

Suasana di dalam terminal bagaikan musim haji. Memasuki terminal yang penuh sesak dengan orang ramai dan melihat deretan penumpang yang ingin mendaftar masuk telah mengubah segala persepsi saya mengenai Air Asia. Wow, betapa ’famous’nya penerbangan Air Asia sekarang. Proses pendaftaran masuk pula begitu mudah tanpa perlu menunggu lama biarpun deretan penumpang yang begitu ramai. Ini menunjukkan kakitangan Air Asia cekap dan berwibawa. Inikah fenomena biasa di LCCT?

Saya teruja dan pengalaman yang saya lalui telah mengubah persepi saya mengenai Penerbangan Air Asia.